Saturday 9 January 2016

Malaikat??

Suasana di dalam kelas tutor senyap tanpa bunyi bicara manusia. Hanya kedengaran sayup-sayup suara pendingin hawa yang berbunyi.
Ada guru yang berada di bangku hadapan kelas itu. Gayanya bersahaja. Seperti biasa, beliau menanti persoalan yang bakal pelajar utarakan kepadanya.
Di sebalik wajah pelajar lain semuanya kelihatan menunduk, ada dua orang pelajar yang berbicara dari jauh. Afik dan Fazrin. Mereka hanya berbicara menggunakan isyarat reaksi muka. Mujur sahaja guru mereka itu tidak nampak.
Mereka punya soalan yang sama untuk ditanyakan,namun masing-masing tidak mahu beralah akan siapa yang mahu mengutarakan soalan tersebut.
Sedetik, dua detik. Masih tiada siapa yang mahu memulakan sesi pertanyaan dengan guru tersebut.
"Ustaz," Afik mula bersuara.
Si guru mencari-cari akan gerangan suara yang memanggilnya itu tadi.
"Na'am," isyarat beliau supaya Afik meneruskan pertanyaan.
"Ustaz, kan malaikat Jibril diutuskan kepada nabi dan rasul untuk menyampaikan wahyu. Jadi, sekarang dah tak ada nabi. Pastu, malaikat Jibril buat apa sekarang?"
Kelihatan beliau mula tersenyum.
"Baik,malaikat Jibril buat apa sekarang? Seolah-olah kamu kata malaikat jibril jobless.haha.." nadanya bergurau.
Kedengaran sambutan ketawa kecil dari rakan sekelas yang lain kecuali Fazrin. Dia menantikan bicara seterusnya dari guru tersebut.
"Baik, cuba baca surah al-qadr."
Afik memulakan bacaannya. Ada juga rakan yang lain turut sama membacakan surah tersebut.
Sampai kepada ayat ke-4 surah itu, guru memberhentikan bacaan Afik dan beliau bertanya.
"Apa yang kamu sebut tadi? Cuba ulang balik,"
"Tanazzalul malaikatu warruuhu fiihaa.."
"Baik,Ar-ruh di dalam ayat tu merujuk kepada siapa?"
Kedengaran ada suara rakan sekelas menyebut "malaikat Jibril.."
"Ya, betul tu. Jadi, ini juga antara tugas malaikat Jibril,"
"Ouh..." ada yang bersuara perlahan. Barangkali ramai yang baru tersedar akan maksud ayat tersebut yang selama ini hanya dibaca tanpa difahami.
Sambung guru lagi,
"Ditugaskan malaikat Jibril untuk turun bersama-sama malaikat lain pada malam Al-Qadr setiap tahun."
"Sebenarnya, banyak lagi tugas para malaikat, tetapi, hanya sedikit sahaja yang Allah khabarkan kepada kita.
Faham Afik?,"
Afik mengangguk. Begitu juga Fazrin.
'Fuh, lega. Akhirnya terjawab juga persoalan aku selama ni.'
Kemudian, sesi pertanyaan di dalam kelas terus disambung dengan pertanyaan rakan sekelas yang lain sehingga habis waktu kelas pada petang itu.