Wednesday 23 December 2015

Rijal vs nisa'?

Seperti dijangka, ada test mengejut malam ni. Masa yang diberikan kepada kami hanya sekitar 20 minit sahaja. Boleh buka buku dan boleh bincang dengan kawan. Semua kalut. Aku turut sama.
Test ulum malam ni, menandakan ada perkara yg aku sedia tahu, tpi perlu lebih pembacaan dan pemerhatian lagi.

Selesai kertas jawapan dikutip, ust berpesan kepada kami yang berada di barisan paling hadapan untuk tunggu sebentar selepas kelas tamat untuk membantu beliau menguruskan kertas-kertas jawapan kami tadi.

Pengajian dan pembelajaran kami pada malam ini diteruskan ke tajuk seterusnya.

Tajuk 'Perterjemahan Al-Quran'.

Apa yang boleh disimpulkan dari tajuk tersebut adalah, penterjemahan AlQuran terbahagi kepada dua iaitu terjemah satu-satu huruf dan terjemah secara makna.

Adapun terjemah secara huruf demi huruf, hukumnya tidak harus dan diharamkan. Ini kerana khuatir akan terjadi penyelewengan makna asal dan tidak sampai maksud sebenar ayat tersebut.
Terjemahan alquran secara makna pula, hukumnya wajib.

Seusai khulasoh dari sahabat sekuliah ttg kuliah ust pada malam ini. Seperti biasa, ust membuka peluang pertanyaan kepada kami.

Dianah mengambil peluang pada malam ini. Dia bertanya tentang wujudnya alquran terjemahan huruf demi huruf pada hari ini.

Daripada apa yang aku sempat tangkap jawapan ust, walaupun kita sedia maklum akan hukum ianya haram, kita tidak boleh menegah manusia daripada membeli alquran terjemahan tersebut. Mungkin ada niat baik bagi pihak penulis dalam membukukan alquran terjemahan tersebut. Perlu ada peranan kita dalam hal ini, mungkin boleh menulis memikirkan tentang penyelesaian akan hal ini. Kalau kita melarang orang dari membeli terjemahan itu, nanti mereka nak rujuk apa?

Aku ada soalan yang ingin diajukan, namun, aku hanya berdiam diri.

Setelah selesai kelas pada malam ini, kami yang dipanggil ust untuk membantunya menyusun dan mengira kertas soalan dan jawapan, terus ke hadapan pentas dan mengambil bhg masing-masing.
Setelah aku selesai akan tugasku, aku melihat ust mula menapak ke arah kami. Adil ada bertanyakan perihal ulama yang menulis kitab di dalam penjara. Aku mengambil kesempatan untuk bertanyakan soalan juga. Memandangkan ust berdiri betul-betul di hadapan aku, aku bertanya.

"Ust, apa maksud ilmu ladunni?",

"Ilmu terbahagi kepada dua. Ilmu ladunni dan ilmu kasbi. Ilmu kasbi, seperti yang awk buat sekarang,(hadir ke kelas dan sebagainya). Ilmu ladunni pula, ilmu yang diberi terus oleh Allah kepada seseorang. Sebagai contoh, awak baca buku sikit je, tpi ilmu awak banyak. Dan ilmu ladunni ni, terdapat banyak pada ulama terdahulu,"

Aku bertanya lagi.

"Ust, di dalam ayat "..arrijal qowwamuuna alannisa'..", apa  maksud kat situ?"

Jawab beliau,

"Contoh, seorang wanita yang berpangkat perdana menteri, bila dia di rumah, di bukan lagi perdana menteri.. ad si suami yang menjadi ketua kepada dia di rumah."

"Seperti yang berlaku kepada Hindun, dia mengadu kepada Rasulullah akan perihal sifat bakhil suaminya, Abu Sufyan.

'Bolehkah aku mengambil harta suamiku  tanpa keizinan darinya?'

Rasulullah membenarkan hal itu, akan tetapi, dia hanya boleh mengambil sekadarnya sahaja..", sambungnya lagi.

Soalku lagi, "tapi ust, sesetengah lelaki menggunakan ayat ini sebagai alasan dia untuk menyakiti wanita.."

Ust menggeleng.

"Orang tu tak faham ayat tu. Di sebalik pengiktirafan, ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan..."
 
Panjang lagi sebenarnya penerangan ust. Tpi itu yg sempat melekat di dalam minda.

Aku cuba untuk menghadam jawapan ust. Ini kerana terdapat perbezaan bahasa antara kami sebenarnya. Bukan ust tidak tahu berbahasa melayu, namun di dalam kelas, beliau ingin kami berlatih berkomunikasi dengannya dengan menggunakan bahasa arab. Namun, untuk menjawab persoalan dan kemusykilan kami, beliau menggunakan 3 bahasa. Hanya sebilangan kecil sahaja beberapa patah melayu yang keluar dari mulutnya. Ianya sebagai inisiatif untuk kami memahami tentang apa yang mahu beliau sampaikan.

"Fahimti?",

Aku hanya mengangguk sambil menjawab perlahan bahawa aku faham.
Tentang apa yang ust terangkan, hanya itu yang mampu aku terjemahkan. Ada kata-kata beliau yang aku tidak ingat, aku tidak menulisnya. Takut-takut tersalah maksud pula nanti.

Wallahua'lam .

Pesanan murobbi

Seusai Adil menghabiskan hafazannya di hadapan ustaz , kini tiba giliranku pula. 

Ah.. diri, mohon bertenang.
Aku tahu, aku tidak lancar ketika mengulang hafazan di hadapan Adil tadi. Ada juga surah pendek yang tidak dapat ku hafal lagi. 

Sebelum masuk ke kamar guru tadi,

"Macam mana ni Dil? Aku tak lancar pun lagi ni. Surah pendek ni pun ak tak hafal lagi," luah aku perlahan. Seolah-olah ingin berputus asa pada waktu itu. 

"Ala..tak pe je, yang penting kau tasmi' juga kat ustaz hari ni. Nanti ustaz bantu. Jom la," Adil memujukku perlahan. Kakinya sudah melangkah ke hadapan untuk terus ke kamar guru kami. 

Dengan lemah aku mula menapak mengikut rentak kaki Adil untuk menuju ke kamar guru.

"Padan muka! Itu la, tak ikut apa pesanan ustaz. Cuti baru ni kau buat apa?," getus hati kecilku. 
"Ah..bertenanglah.."


Dengan lafaz basmalah aku mula memperdengarkan hafazanku. Alhamdulillah, surah yang tidak aku lancar tadi, dapat aku baca dengan lancar. Cuma ada pada ayat tertentu yang aku lupa dan tertukar ayat.

Setelah selesai semuanya, ustaz mengatakan bahawa aku kurang fokus. 
Aku mengangguk perlahan menandakan kata-kata beliau tadi adalah benar. 

Seperti biasa, apabila kami semua telah selesai tasmi', ustaz akan memberi tugas hafazan baru. 
Ada surah yang tidak pernah aku hafal, dan ada surah yang aku hanya perlu mengulang sahaja.

Alhamdulillah, selesai urusan pagi ini.

Kami tidak berganjak dari tempat duduk.
Tiba-tiba, Adil bersuara.

"Ustaz, can I take a picture from that?",
Adil minta izin.

"Gambar apa pula Adil ?", aku bermonolog.

"Tafadholi, do you know what's the meaning?", soal ustaz.

Waktu itu, baru aku mendongak ke papan tanda yang terletak di sebelah atas kepalaku .




'Ouh, gambar kata-kata rupanya..'
aku tersenyum. Sempat lagi Adil memerhati bilik ust. 

"Awk tahu apa maksud kata-kata tu?", soal beliau.

"Tidak, ust," Adil menggeleng. 

Kemudian ust menterjemahkan kepada kami satu persatu maksud ayat tersebut. Namun tidak semuanya. 

Cukup kami mengerti bahawa, hendak menjadi seorang penuntut ilmu, tidak cukup dengan hanya duduk di rumah. Perlu ada perjuangan dalam menuntutnya. 

Kemudian aku mengambil kesempatan untuk bertanyakan ust beberapa soalan. 

"Ustaz, bagaimana saya hendak fokus dalam melakukan sesuatu perkara? Mula-mula saya hendak buat perkara lain, tiba-tiba perkara lain yang saya buat,," 

Balas beliau, "Doa. Berdoalah moga-moga Allah memberkati masa kamu. Saya ada pengalaman yang mana saya mempunyai pekerjaan, dalam pada masa yang sama, saya belajar master, saya perlu mengajar di sekolah, menjadi imam dan saya juga mempunyai 5 kumpulan kelas AlQiran untuk negara saya. Banyak perkara yang perlu saya lakukan dalam satu masa. Alhamdulillah, Allah memberkati waktu saya. Jadi, berdoalah agar Allah memberkati masa kamu. Jangan bazirkan waktu. Kamu perlu tahu apa itu keutamaan dalam kehidupan kamu seharian.

Saya kongsikan tips kepada kamu," kelihatan beliau mula mengambil sehelai kertas kosong dan mula melakar di atas kertas itu kepada empat bahagian. Aku dan Adil terus memerhati dan cuba untuk memahami apa yang bakal beliau sampaikan. 

"Kamu boleh senaraikan kepada beberapa bahagian. Perkara penting segera, perkara penting tidak segera, perkara tidak penting segera, perkara tidak penting tidak segera.

Sebagai contoh, ada seseorang meminta kamu menghubunginya sekarang. Ianya perkara segera, namun adakah ianya penting? Maka abaikan ia. Contoh lain seperti whatsapp atau facebook, ianya tidak penting dan tidak segera. Jadi abaikan. 

Sekarang, kamu hanya perlu tumpukan kepada perkara penting segera dan perkara penting tidak segera. 

Contoh perkara penting dan segera, kamu mempunyai kuiz esok hari. Perkara penting tetapi tidak segera pula, ianya lebih penting daripada perkara penting dan segera tadi. 

Sebagai contoh, kamu ada beberapa subjek dan sub topik tertentu untuk dihadam dan dipelajari. Untuk menghadapnya semuanya sekali dalam pada masa yang singkat, ianya seperti mustahil untuk dilakukan. Jadi, tidak dapat tidak, kamu perlu mengulangkaji pelajaran itu setiap hari.  

Saranan saya, senaraikan apa yang perlu kamu lakukan pada setiap hari. Jika kamu menitikberatkan perkara yang saya kongsikan sebentar tadi, saya yakin kamu boleh mendapat markah yang tinggi.

Cuba buat jadual seperti yang saya tunjukkan tadi dalam tempoh seminggu.Dalam masa sehari, berapa banyak masa luang yang kamu ada dan apa yang kamu perlu lakukan untuk memenuhi masa luang tersebut."

Bersungguh-sungguh beliau menerangkan kepada kami. Aku merasakan seperti mendapat nafas baru. 

Aku bertanya lagi, 

"Ustaz, macam mana nak bangun awal pagi?," 

"Tidur awal," ringkas sahaja jawapan beliau.

"Kalau kamu tidur pada jam 1 atau 2 pagi, kamu tidak akan mampu bangun awal pagi," sambungnya lagi.

Kami hanya tersenyum. Barangkali terasa seperti tepat mengena di atas batang hidung sendiri. 

"Em, ustaz. Saya dah lama tak bangun tahajud, macam mana..," 

"Baik, bayangkan tangga. Kita tidak boleh terus melompat ke anak tangga yang ke sepuluh. Bermula dari bawah, kita perlu menapak dari satu anak tangga ke satu anak tangga. Berterusan.

Cuba mulai dengan solat sunat dua rakaat selepas solat isya' sebelum tidur. Cuba lakukannya berterusan selama sebulan. Pada bulan kedua, cuba tambah lagi dua rakaat. InsyAllah," 

Apa yang terlintas di benak hati, aku luahkan saja pada beliau pagi ini. Entah kenapa lidah ini lancar sekali melontarkan soalan-soalan.

"Ustaz, kenapa kadang-kadang saya menangis sewaktu membaca AlQuran? Padahal saya tidak memahami isi kandungan ayat tersebut," 

"AlQuran itu mukjizat. Syeikh Sya'rawi seorang pentafsir ada menyatakan bahawa di dalam AlQuran itu terdapat cahaya. Andai kata 'receiver' kita rosak, kita tidak mampu untuk menerima isyarat daripada AlQuran itu sendiri. Jika hati kita kotor, ianya suatu masalah. Seperti cermin kotor, kita tidak mampu untuk melihat apa yang terpantul pada cermin tersebut.

Berdoalah, sentiasa berdoa kepada Allah dalam solat tahajud kamu. Tiada siapa mampu melakukan sesuatu perkara tanpa Allah."

Mungkin selepas ini soalan terakhir pada pagi ini, 

"Ustaz, adakah ilmu tasawuf penting dalam hidup kita?," perlahan saja suara aku bila melontarkan soalan ini.

Ustaz seperti terjeda dengan persoalan tersebut. 

Beliau tersenyum.

"Tasawuf bagaimana yang kamu hendak tahu?" 

'Ada tasawuf lain ke?' Getus hatiku. 

"Maksud ustaz?" Aku minta kepastian. 

"Tasawuf yang zikir2 atau tasawuf tarbiyatul qalb?" 

"Tentang hati, ustaz."

"Tidak dapat tidak, ilmu tasawuf dalam pentarbiyahan hati amatlah penting. Bagaimana hendak mentarbiyah hati? Saya tanya kamu, apakah mungkin kamu bisa menjadi seorang wali? Bagaimana?

Buat perkara wajib, tinggalkan perkara haram dan lakukan perkara sunat," 

Beliau menambah lagi, 

"Tekunlah dalam melakukan perkara-perkara wajib, seperti khusyuk dalam menunaikan solat fardhu, mengambil wudhu' secara sempurna.

Kemudian, meninggalkan perkara-perkara haram. Ini amat penting sekali."

"Fahimti?," beliau meminta kepastian, bimbang kami tidak memahami butir bicaranya yang dituturkan dalam bahasa arab.

Aku dan Adil mengangguk. Namun ada persoalan yang bermain di benak hati ini.

'Meninggalkan perkara yang haram itu bagaimana ust?' 

Aku tidak tahu hendak menyuarakannya bagaimana kepada beliau. 

Mungkin beliau boleh membaca riak wajahku. Bicaranya terhenti seketika lalu diambilnya gelas yang terletak di atas mejanya itu.

"Hati kita ini ibarat gelas. Jika kita meletakkan benda yang kotor di dalam gelas ini, kemudian kita menambah madu di dalamnya. Apakah hasilnya? Pasti buruk bukan? Jadi, kita perlu keluarkan kotoran itu tadi terlebih dahulu. Kemudian barulah kita meletakkan madu atau apa-apa minuman di dalamnya."

Ya, apabila madu bercampur dengan kotoran, pasti akhirnya menjadi kotoran juga. Memang diakui akan hal itu.

"Sebagai contoh ikhtilat. Saya melihat rata-rata pelajar wanita begitu bebas berhubung dengan pelajar lelaki. Duduk semeja, berbual sekali. Seolah-olah tiada 'penghadang' antara mereka. 

Pesanan saya, jauhilah ikhtilat. Sampaikanlah pesanan ini kepada rakan kamu yang lain juga. Pastikan adanya 'penghadang' antara kamu dan lelaki. Bukanlah maksud saya supaya kalian bermusuh, tidak sama sekali.

Berhati-hatilah. 
Perkara ini yang membuatkan hati kita menjadi letih dan sibuk dengan perkara yang tidak sepatutnya."

"Semoga Allah memberi taufiqNya kepada kita semua. Terima kasih kerana sudi bertanyakan saya beberapa soalan. Dengan ini, dapat saya mengingatkan diri sendiri juga." beliau mengakhiri kalam.

Setelah itu, aku dan Adil perlahan-lahan bangun dan menolak kerusi yang kami duduk tadi ke tempat asalnya kembali. 

"Syukran ustaz," ucap Adil sebelum kami melangkah keluar dan menutup pintu kamar itu. 

Kami mula menyarungkan sepatu di kedua kaki.

"Alhamdulillah. Banyak aku dapat hari ini.Terima kasih Adil," luah aku dari dalam qalbu yang hanya melantun di lelangit tidak keluar ke bibir. 

Hanya senyuman bahagia terpancar di wajah. 

'Moga Allah merahmatimu, sahabat."

Dan pada hari itu, langkahan kaki ini terus diorak kembali menuju ke tingkat bawah untuk menghadiri kelas pada jam yang berikutnya.